Salam syawal...
Saya mendapat perkhabaran dari seorang junior tentang guru kimia saya yang disahkan mengalami ketumbuhan di kepala. Hari ini saya dan Husna ke Hospital USM, Kubang Kerian untuk melawat cikgu. Kelihatan keadaan cikgu sangat berbeza jika dibandingkan dengan 3 bulan lepas, cikgu kelihatan lebih berisi dan matanya sembab gara-gara pembedahan yang telah mengambil masa 20 jam.
Ini bukanlah kali pertama saya melihat orang yang mengalami kesakitan, dan ini juga bukanlah kali pertama saya menjejakkan kaki ke HUSM, saya sendiri pernah berada di sana selama 3 bulan.
Sebelum ini, saya pernah mencoret tentang penderitaan menanggung kesakitan dan ketabahan emak saudara saya yang merupakan penghidap penyakit barah payudara. Sungguh, saya sangat mengagumi mereka yang menghidap penyakit. Ketabahan, dan kekuatan melawan kesakitan sungguh luar biasa.
Mereka masih mampu senyum dan menjalani kehidupan dengan biasa walaupun mereka sebenarnya sedar kehidupan yang bakal mereka tempuhi sebenarnya akan menjadi lebih sukar. Mereka bukan sahaja terpaksa menanggung kesakitan, malah mereka akan berusaha untuk kelihatan bertenaga agar saudara, rakan-rakan,dan orang di sekeliling tidak berasa bimbang dengan keadaan mereka.
Pengalaman menjaga atuk di kampung selepas SPM, dan setiap kali musim cuti semester membawa saya menyelami dunia kesakitan. Apabila kesakitan mula mengerang, ingatan kepada Allah menjadi semakin kuat. Adakah kerana kita takut nyawa kita diambil? Atau kita takut azab kubur? Atau kita mengenangkan bekalan yang masih cukup untuk mengadap Allah? Fikirkan....
Satu perkara yang dapat saya perolehi melalui pemerhatian saya apabila melihat keadaan atuk dan cikgu ialah kesabaran dan kesetiaan si isteri semasa menjaga suami. Saya sangat percaya,untuk menjaga seseorang yang sakit bukan mudah (saya sering kali berjaga malam menjaga atuk dan keesokannya saya akan berasa sangat penat), si isteri pastinya tanpa keluh akan melayan si suami dengan penuh kasih sayang. Si isteri akan berada di samping suami sepanjang masa, seolah-olah mereka sama-sama menempuh kesakitan. Si isteri pastinya akan berasa sangat letih dan kadang-kadang tidak terdaya namun dia tetap gagahkan juga kerana dia percaya apabila mereka bersama, mereka seolah-olah memberi motivasi kepada antara satu sama lain untuk terus berjuang.
Pentingnya isteri di sisi suami, pentingnya keluarga untuk meyokong, penting sahabat-sahabat untuk membantu, namun penting lagi ingatan kita kepada Allah yang menciptakan segala....
P:S
Buat cikgu Taqiuddin yang kini berada di Hospital Pakar Perdana, Kota Bharu,
semoga Allah member I cikgu kekuatan untuk terus berjuangn melawan kesakitan.

0 comments:
Post a Comment